Pilihlah diriku…

Standard

Tanpa kita sedari Ramadhan hampir menemui titik penghujungnya. Sayu mengenangkan bulan yang terkandung segala kebaikan di dalamnya bakal melabuhkan tirainya. Hadirnya Ramadhan membawa begitu banyak rahmat kepada sekalian makhluk. Bagi mereka yang masih diberi kesempatan untuk mengimarahkan alam fana ini semestinya Ramadhan menjadi madrasah terbaik untuk memperbaiki diri dan menyemai bibit-bibit taqwa di dalam jiwa. Bulan Ramadhan juga bulan kemerdekaan buat mereka yang bersemadi di alam kubur memandangkan mereka terlepas seketika daripada azab kubur. Lihat sahaja masjid dan surau, semuanya diimarahkan manusia yang berkumpul bagi mencari redha Allah. Seharusnya peluang untuk mendapatkan tarbiyyah atau pendidikan percuma ini dimanfaatkan sebaiknya oleh sekalian ummat manusia.

Berapa ramaikah mereka yang diberi kesempatan untuk mngecapi nikmat bertemu Ramadhan yang berikutnya? Ramadhan berlalu tanpa penghayatan seolah-olah kita yakin bahawa kita akan diberi peluang untuk bertemu Ramadhan seterusnya. Setiap kali menjelang Ramadhan, kita mendengar kematian di sekeliling kita tidak kira muda atau tua sama ada disebabkan penyakit mahupun kecelakaan. Namun, amat sedikit yang mengambil iktibar dan pengajaran. Adakah hati kita sudah tidak berfungsi lagi untuk menjernihkan akal dan fikiran? Adakah ia terlampau gelap sehinggakan tiada lagi ruang untuk nur hidayah menembusinya?

Menginjak kepada pertambahan usia seharusnya mematangkan kita sebagai seorang hamba dan khalifah. Tidak mungkin tempoh sematang ini tiada perubahan yang terzahir di dalam diri kita.  Malah, masa terus berputar  tanpa menoleh ke belakang dan ruang pula pasti berubah bagi melengkapi keperluan masa tetapi menghairankan tatkala sebahagian ummat manusia yang diciptakan sejak penciptaan Adam gagal untuk membaik taraf dirinya ke maqam (tingkatan)  yang lebih baik dari sebelumnya. Kita berbicara soal kemodenan (hadhari), perubahan atau transformasi (islah) tetapi sejauh mana kita memahami keperluan untuk merencanakan  kemodenan mahupun perubahan ini.

Kita analogikan sebuah kereta yang ingin memasuki pasaran pada abad ke-21. Adakah kereta tersebut diambil keseluruhan struktur dan enjinnya daripada tahun 1920-an? Sudah tentu tidak kerana manusia pada abad ke-21 ini serba pantas. Kepantasan menjadi ukuran malah pengangkutan menjadi aset untuk merealisasikannya. Maka, sudah pasti enjin turbo mahupun berkuasa tinggi diperlukan. Tetapi tatkala strukturnya pula lemah dan tidak kukuh mana mungkin kenderaan tersebut dapat dipacu dengan baik di jalan raya. Ini memperlihatkan kepada kita bahawa kemodenan dan perubahan itu menuntut penambah baikan yang menyeluruh sama ada luaran (external) mahupun dalaman (internal). Ia juga perlu melengkapi ruang dan masa (waqi’ah).

Maka, untuk menjadi hamba dan khalifah pada abad ke-21 ini memerlukan penambahbaikan yang utuh agar tuntutan hamba (abduh) dan khalifah ini dapat direalisasikan.Ramadhan kareem ini pastinya menjadi sebuah institusi mahupun madrasah bagi kita meningkatkan taqwa dan tarqarrub kepada Allah dalam mendepani permasalahan akhir zaman. Kitar “Rejuvenation of Iman” (Keremajaan Iman) ini akan berlansung dari satu Ramadhan ke Ramadhan berikutnya. Seandainya Ramadhan ini berjaya ditempuh dengan penghayatan yang sebenar-benarnya maka kita akan menjadi individu yang mampu berhijrah ke arah kebaikan lebih daripada sebelumnya. Jika kita menggunakan istilah “The Genesis of Iman” (Penciptaan iman) memperlihatkan ia sebagai permulaan kepada iman tetapi kita berpegang bahawa mereka yang melafazkan syahadah dan menzahirkannya dikurniakan iman di dalam diri mereka sehingga mampu melafazkan dan menzahirkannya dengan sedar namun sejauh mana iman itu mampu bertahan dan kian meningkat dari satu tahap ke tahap yang lain. Justeru itu, keremajaan iman harus dipelihara bagi menyuburkan iman dan memekarkannya di dalam jiwa kita. Madrasah Ramadhan ini dilihat sebagai pit-stop (singgahan)untuk kita melansungkan keremajaan iman supaya di akhir riwayat kita,kita disemadikan di dalam keadaan beriman.

Madrasah Ramadhan kian berlalu,
maka akan terlihatlah siapa kecundang dan siapa pemenang,
Tatkala ada yang merintih keinsafan masih ada yang bergelak tawa,
Bergelak tawa mengakhiri Ramadhan bagi meloloskan diri dari kongkongan,
Kongkongan nafsu yang sentiasa cuba dirantai meskipun meronta minta dilepaskan,
Tarbiyyah Ramadhan disingkapi, ruang islah sentiasa diintai, maghrifah terus dipohon,
Mengharapkan agar ada pembaikan di dalam diri, ada ruang untuk kembali,
Kembali kepada fitrah yang suci bagi menunaikan janji,
Janji yang dimaterai semenjak azali,

Pilihlah diriku,

yang sentiasa mencari-cari dan meraba-raba Nur Tuhannya agar hidupnya sentiasa dituntuni. Jangan sesekali Ramadhan ini lansung tidak meninggalkan kesan kepada diri ini setelah penat lelah dan lapar dahaga diperuntukkan semata-mata mencari redhaMu.

Pilihlah diriku,

sebagai graduan Ramadhan yang menggenggam skrol di genggamannya. Skrol iltizam dan kekuatan bagi merencanakan misi ummat yang kian mendesak agar syiar Islam terus tertegak dan cahayanya menyelaputi sekalian alam.

Semoga Ramadhan kali ini memberi kita ruang untuk terus thabat di atas jalanNya tanpa ragu-ragu dan berbolak-balik Insha Allah~

Leave a comment