~Kupinang dikau dengan Bismillah~

Standard

Setelah sekian lama saya tidak menggerakkan jari-jemari di atas papan kekunci tiba-tiba tergerak hati saya untuk berkongsi ‘entry‘ bertajuk “Kupinang dikau dengan Bismillah”…Menarik bukan tajuknya? Saya pasti ramai remaja di luar sana berbunga-bunga hati mereka tatkala mendengar perihal pinangan…Hebatkah menjadi pinangan orang? Saya tidak ingin bicarakan berkenaan perkahwinan kerana ia adalah iltizam kepada sebuah komitmen dua jiwa dalam memulakan satu lembaran kehidupan ke arah mencari mardhatillah…Saya ingin membicarakan soal pinangan kerana merasakan ia jarang diberikan perhatian kerana dilihat satu perkara yang remeh…Di satu aspek yang berbeza ia dianggap sebagai kunci untuk menghalalkan perhubungan ala-ala suami isteri meskipun tiada ikatan yang benar-benar menghalalkannya…

“Saya ingin awak menjadi yang halal untuk saya, bolehkah saya mengenali awak dengan lebih dekat…”

Sebuah pertanyaan berbaur pinangan yang mungkin sangat longgar bibir melafazkan tetapi hadir bersamanya sebuah pertanggungjawaban dan komitmen…Jika anda di tempat ini…Apakah jawapan yang akan anda berikan? Ya atau Tidak? Kedua-dua jawapan ini pastinya memberikan natijah (hasil) yang pastinya berbeza…Jika jawapan ‘Ya’ diberikan maka hadir bersamanya pertanggungjawaban dan komitmen…Saksinya? Allah SWT…kenapa? kerana bila mana disunting untuk dijadikan yang halal maka kita berjanji pada Allah untuk memilih saluran yang betul, saluran yang akan membawa kita kepada pelengkapan iman, kepada penyerahan diri secara total dalam mengabdi cinta kepadaNya…Jika ‘Tidak’…Apakah pertimbangan yang hadir sewaktu kita melafazkannya…Adakah kita memandang kepada kualiti luaran untuk menghakimi atau kita membuat pertimbangan manusiawi yang dhaif disertai bisikan hati yang kadang kala berbolak-balik…

Saya berpegang kepada suatu prinsip iaitu saya tidak ingin menzalimi sesiapa dan membuat pertimbangan mengenai luaran semata demi memuaskan kehendak hati saya dan itulah yang dianjurkan Islam itu sendiri…Jawapan yang akan diberikan adalah menurut petunjuk Illahi…Mungkin di dalam hati timbul persoalan mengapa dia yang bukan ‘favorite list’ ku mempunyai kekuatan untuk menzahirkannya?…Adakah itu gerak hati Allah kepadanya? atau dia melafazkan di dalam keadaan tidak sedar akan pertanggungjawaban yang hadir bersamanya? Jika anda diajukan pertanyaan begini maka bertanyalah kepada Allah kerana dia Maha mengetahui..Pengetahuannya jauh dari ruang lingkup waktu…Dia tahu apa yang akan terjadi esok, lusa, setahun mendatang meskipun berpuluh-puluh tahun berikutnya…

Aneh mengapa Si Arjuna memilih jalan pengecut dengan memilih persetujuan si gadis berbanding memilih jalan untuk meminta persetujuan walinya..Di sini saya ingin berkongsi ilmu yang diperoleh daripada Dr. MAZA di dalam ruangan bicaranya berkenaan hak penentuan pasangan oleh si gadis…Pemilihan terletak pada si gadis tetapi persetujuan daripada walinya…Kombinasi kedua-dua pemilihan dan persetujuan inilah yang melengkapi sebuah pertunangan yang bersyariat…Perlu diingat bahawa individu yang paling bertanggungjawab terhadap seorang gadis adalah bapanya…Bapanyalah yang berhak sepenuhnya ke atas anak gadisnya sebelum hak itu diserahkan kepada individu yang halal bagi  anak gadisnya…

Seorang bapa seperti ‘remote-control’ yang mengawasi anak gadisnya..Setiap tindakan anak gadisnya perlu mendapat pertimbangan dan persetujuan darinya kerana dia memiliki hak itu…Hak yang seharusnya digunakan bagi memelihara amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepadanya…Amanah yang bakal mengheret dirinya antara melintasi gerbang syurga atau terperosok ke dalam jurang neraka jahannam, Nauzubillahi min zalik…mengambil bingkisan hadis nabi SAW yang menekankan peri penting memelihara amanah mendidik generasi ummu ummahat (ibu ummah) ini yang antaranya menjelaskan bahawa seorang bapa yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik serta bersikap baik terhadap anak perempuannya maka anak perempuannya itu bakal menjadi penghadang (barrier) antara dirinya dan api neraka, Subhanallah hebat ganjaran Allah ini yang perlu direbut…Kerana itulah insan ini semestinya tidak diabaikan oleh Si Arjuna di dalam usaha memiliki si gadis terutamanya muslimah yang solehah yang bakal melengkapi sebahagian daripada dirinya dan menjadi ibu kepada anak-anaknya…

Penyatuan rasa antara dua jiwa itu sendiri sebenarnya merupakan bibit-bibit kepada sebuah pertunangan…Bukan semata-mata cincin belah rotan yang tersarung di jari manis si gadis…Awas! jika begitu mudah luahan perasaan ini dilontarkan dengan mudah kerana ia boleh menjadi titik tolak kepada pertunangan anda berdua…’I love you‘ dibalas dengan ‘I love you too‘ maka termeterailah perjanjian dua jiwa yang memendam rasa…Nampak enteng tetapi hakikatnya betapa ramai yang mengenepikan kesemua tanggungjawab yang hadir bersama ketika lafaz cliche ini dimuntahkan…

Ingin menyalahkan 100% kepada generasi muda hari ini yang bertunang secara tidak sedar mungkin tidak adil jika dilihat dari aspek yang lebih mendalam…Faktor luaran dan dalaman saling mempengaruhi…Dalaman yang tidak dibaja dengan kekuatan tauhid yang mantap dan luaran yang tidak henti-henti di dalam menambahkan serbuk penyedap rasa bagi membibitkan cinta yang tidak dibajai dengan iman dan taqwa…

“Wahai Si Arjuna pinanglah diriku dengan Bismillah

Agar kau sedar Allah menjadi saksi terhadap lafazmu

Agar hadir bersamamu rasa pertanggungjawaban terhadap diriku

Bukanlah pinangan ini yang benar-benar menghalalkan dirimu untukku

Tetapi…

ia adalah sebuah janji yang dimaterai demi menggarap redha Illahi semata

Pertunangan ini bukanlah jalan mudah untuk dirimu mmiliki hak sepenuhnya ke atas diriku

Tetapi…

Ia adalah simpulan yang amat longgar bagi menguji keimanan dan kesabaran kita,

Andai kita berjaya mengharunginya maka berbahagialah kerana kita berjaya membuktikan

bahawa cinta Allah hadir terlebih dahulu sebelum cinta kita

Sebaliknya andai tewas maka kita gugur di dalam pertempuran merebut cintaNya

kerana memilih cinta kita semata yang tiada apa berbanding nilai cintaNya…”

Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin berkongsi pandangan Prof Hamka berkenaan cinta…Jika kita memilih cinta yang murah kita akan terperosok ke dalam jurang yang sangat dalam dan hina tetapi jika kita memilih cinta yang besar iaitu cinta semata kepada Allah SWT maka kita akan berada di satu kedudukan yang sangat tinggi di sisiNya…Maka, pilihlah cinta yang besar itu semoga beroleh maqam yang membolehkan kita dapat lebih taqarrub (dekat) kepada Allah …

P/s: Perkongsian ini adalah coretan dan pandangan penulis digarap melalui pengalaman dan input dari yang menyampaikan ilmu dan pandangan…Bukanlah bermakna penulis benar-benar sudah disunting tetapi insha Allah sepertimana muslimah lain mengharapkan dipinang dengan Bismillah yang penuh dengan kesedaran dan ketaqwaan…Bingkisan pendapat/pandangan Dr. MAZA mahupun Prof Hamka adalah menurut gaya penulisan acuan penulis sendiri tetapi masih menekankan intipati asal…Semoga coretan ini bermanfaat buat kita semua Insha Allah, Wassalam…

Leave a comment