Sukarnya mencintai Dia…

Standard

Akhir-akhir ini banyak persoalan yang menjengah ke minda saya…Semuanya hampir melingkungi istilah cinta…Mungkin tempias rakan-rakan yang sudah selamat diijabkabulkan menjadikan saya tertanya-tanya bilakah waktunya saya akan menjadi halal untuk sesorang…Mungkin bunyinya seperti saya seorang yang tidak percayakan ketentuan jodoh tetapi hakikatnya saya seorang perempuan dan perempuan memang menantikan saat dia menjadi sah bagi yang berhak ke atas dirinya…Mungkin penantian sebegini memberi ruang untuk diri memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada dan menjadikan diri seorang yang meletakkan seluruh raja’ (pengharapan)nya semata-mata kepada Allah…Singkatnya masa bukan membawa maksud ia adalah baik dan lamanya senggang waktu bukanlah bererti ianya buruk tetapi kedua-duanya mengandungi hikmah dan risikonya yang tersendiri.

Ibu saya pernah menasihati saya menggunakan ruang yang ada selagi belum dimiliki dengan mendekatkan diri kepadaNya…Memenuhkan segala keperluan di dada sehingga ke satu saat kita sudah bersedia untuk menempuh fasa kehidupan berikutnya. Sejauh mana kita berusaha ke arah menjadi yang terbaik maka kualiti jodoh yang akan mendampingi kita kelak insha Allah adalah di tahap di mana kita berada. Sekiranya sebaliknya maka ia adalah ujian yang bakal meningkatkan iman kita. Jika disingkap kisah Asiah, adakah kita ingin mempersoalkan janji Allah bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik? Baiknya Firaun adalah dia menambahkan pahala Asiah, meningkatkan lagi maqam keimanannya sehingga beroleh mahligai di syurga…Meskipun diuji dengan pasangan yang tidak sebaik kita tetapi dengan bekal ilmu di dada dan akrabnya kita di sisi Tuhan Insha Allah ujian ini akan ditempuhi dengan tenang, sabar dan ikhlas.

Jika diulas cinta manusia, seluruh dakwat tidak akan mampu menuliskannya kerana kisah cinta ini telah dikisahkan bermula daripada cinta pertama di syurga iaitu Cinta Adam dan Hawa yang penuh dengan pengorbanan, diteruskan dengan kisah Cinta Yusuf dan Zulaikha yang menyoroti sebuah transformasi cinta daripada cinta manusia yang fana kepada cinta Allah yang abadi, seterusnya beralih Cinta Ibrahim kepada Siti Hajar yang penuh tragis dan makna malah disingkap juga Cinta Baginda Rasulullah SAW kepada Khadijah yang tidak pernah lekang di bibir baginda dan Cinta Rasulullah SAW kepada Aishah yang sangat mendalam. Rasulullah pernah memberitahu sahabat bahawa daripada Khadidah baginda memperolehi cinta dan kepada Aishah Rasulullah memberikan cinta baginda. Turut disentuh kisah cintah Fatimah dan Ali, bagaimana Ali adalah insan rahsia yang menjadi dambaan Fatimah di dalam diam sebelum mereka diijabkabulkan…Ada lagikah kisah cinta yang lebih hebat daripada kisah-kisah cinta yang terdapat di dalam Al-Quran dan rentetan kisah hidup baginda dan para sahabat?

Kesemua cinta ini berkisar kepada cinta manusiawi…Cinta untuk makhluk Allah yang fana…Cinta yang bermula dengan pertemuan dan diakhiri dengan perpisahan…Cinta yang mempertaruhkan air mata dan pengorbanan…di suatu masa pula ia adalah cinta yang membuahkan kebahagiaan dan ketenangan…tetapi tidak dapat dinafikan cinta manusia akan hadir bersamanya pembuktian…

“Ya, cinta harus dibuktikan…cinta harus dikotakan, cinta harus dilafazkan…cinta harus…”

Mudahnya untuk mencintai insan yang hadir di hadapan kita…Sekujur tubuh yang berdiri di hadapan kita…Boleh dipandang, disentuh dan boleh memberikan gerak balas kepada kita…Tetapi sukarnya…sukarnya untuk mencintai Dia yang tidak nampak oleh panca indera, tidak tersentuh oleh jari jemari kita dan tidak terjangkau pemikiran kita untuk menggambarkanNya…MengenaliNya hanya dengan mengenali sifat-sifat yang ada padaNya…Berbicara denganNya setiap saat antara lafaz dan lintasan yang singgah di relung hati…Meletakkan diriNya di awal setiap tingkah laku dan urusan…Mendengar bicaraNya di dalam helaian-helaian diari cintaNya yang sangat mengasyikkan…

Hati terasa pedih tatkala melihat insan lain dengan mudahnya melafazkan cinta pada makhluk yang tampak di hadapannya sedangkan menjaga setia cinta kepadaNya amat sukar…MengingatiNya setiap waktu dalam esak tangis dan di saat gembira meskipun tidak mampu melihatNya…Namun, seketika dhuha (cahaya dinihari) hadir menjernih kelamnya waktu…Sinar dhuha yang menjernihkan kembali hati dan akal…Membuaikan rasa bahagia yang bermakna dan menghadirkan syukur yang tidak terungkap…Mehnah (ujian) dan tribulasi adalah cubit-cubit sayang dariNya bagi menghadirkan rasa rindu…Rindu untuk mengadu kepadaNya di saat makhluk lain tidak mampu menjiwai keperitan yang berkecamuk di relung hati dan fikiran…Tetapi setianya Dia untuk mendengar segenap rintihan…Merintih tanpa memandangNya tapi merasai kehadiranNya memerhatikanku..

Memetik antara intipati buku Jalan ke Syurga atau Neraka oleh Ali Akbar Osman, digarapkan rentetan peristiwa pada hari kiamat…

Di hari kiamat terdengar suara yang menyeru, “Mana hamba-hambaKu yang mentaatiKu dan memelihara perjanjian denganKu, meskipun mereka tidak melihatKu!

Maka muncullah sekelompok manusia dengan wajah laksana bulan purnama, terbang menuju ‘Arasy dengan mengenderai kuda dari cahaya yang talinya adalah mutiara yaqut merah. Kemudian Allah berkata kepada mereka, “Salam sejahtera atas hamba yang telah mentaatiKu dan memelihara perjanjian dengan Aku dalam keadaan ghaib. Aku memilih dan mencintai kamu! Masuklah ke syurga tanpa hisab. Hari ini tidak ada rasa takut dan dukacita bagi kamu”.

Kemudian mereka melalui siratul mustaqim bagai sambaran kilat. Lalu dibukalah pintu-pintu syurga

Di syurga terdengar suatu seruan,”Hai ahli syurga , di sisi Allah terdapat janji buatmu yang ingin Dia penuhi sekarang”. Maka mereka menyambut: “Janji apakah?” Bukankah timbangan kami telah diberatkan dan wajah kami telah ia ceriakan? Bukankah ia telah memasukkan kami ke syurga? Dan menyelamatkan kami dari neraka?’. Rasulullah SAW melanjutkan: ” Kemudian dibukalah hijab (tabir penyekat) dan mereka melihat wajah Allah ‘Azza wa Jalla. Maka tidaklah mereka diberi sesuatu yang menyenangkan selain melihat Dia.” (Muslim)

Di akhir penghidupan ini apa yang diharapkan adalah kembali kepadaNya dalam keadaan redha dan diredhai di satu titik pertemuan yang selari. Itulah kemucak/ klimaks manifestasi cinta si hamba kepada KhaliqNya..Kemuncak kepada sebuah rindu yang terpahat di sanubari…sepertimana firman Allah yang ditujukan buat Khadijah di saat berbaki sisa nafas di hujung halkumnya…Kembali kepada KhaliqNya di dalam keadaan beliau redha untuk melepaskan segenap makhluk yang disayangi di jiwanya termasuk pengarang jantungnya, pengubat duka laranya baginda Rasulullah SAW untuk kembali kepada Pemilik segala cinta yang turut sama redha menerima kepulangan beliau di sisiNya…

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang ridha dan diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Al-Balad: 27-30)

Semoga coretan ini akan melonjakkan ombak rindu di hati kita untuk menggapai cintaNya…Kesukaran untuk mencintai Dia berbaloi dengan pertemuan akhir berhadapan dengan Dia di saat gelora hati sudah tidak sanggup untuk menyembunyikan rindu dan untuk meluahkan bahawa

“Di saat diriku di duniaMu terasa akan dunia itu sangat sempit bagiku dan tiada ruang untuk aku menikmati dunia itu tetapi di saat ini syurgaMu amat luas sehingga tidak terjangkau pandanganku tidak terlafaz oleh bibirku dan meliha diriMu adalah saat terpadam segala kepahitan dan laraku seolah-olah ia tidak pernah muncul di dalam hidupku…”

Leave a comment