~Sebuah Realiti~

Standard

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah segala puji dan syukur bagi Tuhan yang Maha Mengatur Alam yang memberikan segenap kekuatan dan bimbingan bagi mencernakan pandangan dan berkongsi input demi pembaikan ummah. Insha Allah entry kali ini bertajuk ‘Sebuah Realiti’…Kedengaran seperti sebuah sinetron. Ya, sememangnya sinetron tetapi bukan di kaca televisyen tetapi sinetron kehidupan yang aktornya adalah kita tetapi skrip dan pengarahnya adalah Dia…

Sangat sedih melihat ramai di antara kita terutama generasi muda tidak dapat membezakan di antara realiti dan fantasi. Rata-rata lemas dalam fantasia bulan madu mereka. Persoalannya di sini kenapa tidak ramai yang mampu meletakkan diri mereka pada paksi realiti. Jawapannya mudah, kerana realiti tidak seindah fantasi bukan? Jika diri tidak mampu berpaksikan realiti maka kita seakan Mat Jenin yang berangan dan memasang mimpi di siang hari. Menariknya mimpi Mat Jenin pun punya cita dan matlamat tetapi mimpi generasi muda kini adalah mimpi yang diulit mengikut kemahuan dan kehendak diri sendiri.

Budaya hiburan melampau adalah bahana di akhir zaman. Budaya yang mengikis semangat juang anak muda. Mereka memintal khayalan yang tidak berkesudahan seperti diberikan candu dan syabu. Ada yang menitiskan air mata tatkala tersingkir daripada program realiti TV malah ada yang lara kerna ditinggalkan pujaan hati. Tidak kurang ada yang mencari kebebasan pada ukuran duniawi. Kehormatan bukan lagi satu aset yang dipelihara tetapi diinjak-injak kerana menurutkan gelora nafsu. Rapuhkah sudah benteng iman generasi muda hari ini?

Mampukah kita sekadar melihat atau menjauhkan pandangan? Memang benar realiti sememangnya menyakitkan, realiti penuh dengan onak dan cabaran, realiti selalu tidak seindah seperti yang dibayangkan, realiti selalunya mengundang kekecewaan tapi realitilah yang mematangkan seseorang individu. Manusia yang paling berpasakkan realiti adalah baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah manusia yang hidup di alam realiti, berhadapan dengan realiti, dan menyampaikan sesuatu risalah yang mencakupi realiti semasa umat. Realiti baginda adalah insan yatim piatu menempuh jerih perih perjuangan, menerima segala bentuk cercaan dan tohmahan, mengabdikan sisa hidup hanya semata melengkapi suruhan Tuhan…Jika baginda adalah seseorang yang memintal fantasi, maka  apa yang dikhabarkan baginda adalah pembohongan semata-mata, hanyalah mitos atau lagenda yang ditokok tambah bagi meraih redha manusia…Bayangkan bagaimana lahirnya ummat yang dibentuk hanya berdasarkan kepada omongan dan khayalan..Sudah tentu ummat yang dibina amat lemah dan rapuh!

Perjuangan baginda adalah sebuah realiti yang tiada titik pengakhirannya dan realiti inilah yang diperpanjangkan kepada generasi seterusnya sehinggalah sampai kepada kita. Realiti kerap dipertontonkan di dalam lipatan sejarah Quran. Peristiwa yang hampir sama tetapi dilakonkan oleh watak yang berbeza. Skripnya pula sudah boleh dihafal dan diulang-ulang bacaannya. Tetapi hanya segelintir sahaja yang mengambil iktibar dan peringatan iaitu mereka yang sentiasa bertungkus-lumus mengumpulkan untaian manik-manik iman demi mengecap redha Allah…

Mampukah kita mendepani realiti? Di sinilah akal kita dikerah untuk memikirkan formula terbaik bagi merungkaikan permasalahan ummat yang silih berganti. Satu demi satu sehinggakan terkadang mata tidak mampu berkerlip dan nafas tidak sempat menemui persinggahannya. Permasalahan yang datang dari depan, belakang, atas dan bawah sehinggakan tiada tempat untuk mengalihkan pandangan. Begitu hebatnya mehnah dan tribulasi akhir zaman. Persoalannya siapakah yang akan memikul semua ini? Semestinya mereka yang bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai bentuk ujian, bersiap sedia untuk mengorbankan keseronokan di usia mereka, mengorbankan waktu bagi mendampingi insan tersayang malahan sanggup tersenyum tatkala dilempari kejian dan penistaan.

Sebagai seseorang yang bergelar da’ie seharusnya bijak membaca realiti ummat yang mencerminkan ummah yang sakit. Ummah yang gersang jiwanya, ummah yang dikelirukan kefahamannya sehinggakan ummah itu tidak mampu bersuara bagi memperjuangkan hak mereka yang begitu mudah dinafikan. Maka siapakah jurubicaranya? yang bakal menterjemahkan permasalahan yang tersirat dan memberi pencerahan terhadap kekeliruan ummah.

Manusia kini terjerat dalam tuntutan realiti yang mendesak. Fikiran mereka disempitkan. Tujuan dan matlamat asal sebuah kehidupan diterbalikkan. Nilai-nilai kemanusiaan diconteng-conteng malah disiat-siat. Ummat seakan buntu dan sentiasa mencari jalan keluar. Mengharapkan bimbingan dan panduan yang sebenar-benarnya tetapi siapakah murabbi yang dapat dirujuk? Adakah yang hanya pandai berhujah? hanya memberi justifikasi pada ukuran dan penilaian sendiri tanpa menyelak naskhah Quran dan Hadis atau yang membenarkan meskipun hati menafikan demi meraih redha manusia dan habuan dunia yang tiada apa dibandingkan dengan rahmat Allah yang melimpah ruah…

Semoga setiap daripada kita tergolong di kalangan mereka yang yang berdiri teguh di celah2 realiti sebuah kehidupan. Diasak, dirempuh, dilambung badai…namun tetap teguh memperjuangkan risalah baginda supaya manusia dapat meraba-raba NUR TUHAN dicelah-celah rapuhnya NILAI INSANI, Wassalam~

One response »

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s